Syari'at Puasa

Dalam bulan Ramadhan, Allah SWT telah mengurniakan nikmat yang amat besar kepada seluruh hamba-Nya iaitu dengan mewajibkan satu amalan yang dapat berperanan untuk menolak tipu daya syaitan dan mematahkan segala usaha jahat serta busuknya. Ianya adalah perisai orang-orang yang beriman dari tipu daya syaitan dan juga medan yang sesuai untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT Yang Maha Pencipta.

Dalil pensyari`atannya ialah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 183 - 184 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa (183) iaitu dalam beberapa hari yang tertentu. Maka sesiapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, iaitu: memberi makan seorang miskin. Sesiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan (memberi makan lebih daripada seorang miskin untuk satu hari), maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui” (184).


Comments